24.8.10

Cerkon tak bertajuk.

Pak Akob rasa gelisah sebaik bangun dari tidur hari ini. Sesudah menunaikan solat Subuh dan menjamah sebungkus nasi lemak, dia termangu sendirian di tangga batu. Dadanya berdebar-debar. Hati tuanya rasa tidak tenteram sekali. Selepas beberapa ketika, dia bingkas bangun seraya mendail nombor telefon anak tunggalnya, Latifah.

"Kenapa, Pak?" Latifah bagai dapat mengagak kelainan bicara ayahnya kali ini walaupun berada nun jauh di Kuala Lumpur.

"Entah la Tipah. Hati bapak ni rasa tak sedap sejak dari pagi lagi."

"Mungkin bapak tak sihat kot." Telah Latifah. Dia risau dengan keadaan ayahnya yang tinggal sendirian sejak pemergian ibunya.

"Tak mengapalah Tipah. Kau pun sibuk. Esok lusa bapak telefon lagi."

Resah, dia mula mundar-mandir di ruang tamu. Lenguh berjalan, dia duduk. Pun masih ada yang tidak kena. Sedang dia merenung di kejauhan, Pak Akob ternampak kelibat Seman, anak Usop. Pantas dia memanggil Seman yang baru masuk darjah 4, tapi sudah pandai menunggang motorsikal ayahnya ke sana ke mari. Sambil menyedut rokok daun tembakaunya, Pak Akob merenung Seman.

"Ada aku bayar upah kau menebas kampung itu hari,Man?" Pak Akob mahukan kepastian. Bukan apa, dia tidak mahu berhutang hatta dengan seorang budak sekalipun. Sangkanya, mungkin kerana hutang itu hatinya rasa tidak sedap.

"Dah Pak Akob. Dah bayar." Seman menjawab. Pantas budak itu meminta diri sambil dikerling ke arah Pak Akob berkali-kali.

Orang tua itu kemudian berjalan di sekitar rumahnya, melihat-lihat tanaman terung di belakang rumah. Dia melangkah lagi sehingga lenguh lutut. Sekembali ke dalam rumah, dia pantas menuju ke dapur untuk membasahkan tekak. Sesekali, dikerlingnya jam di dinding.

Tiba-tiba, Pak Akob menepuk dahi.






"ALLAH!! HARI NI PUASA!"

3 comments: